Sarawak ID|Register
Announcements

Maklumat

5,703 pendidik, pengasuh taska dan tadika di Sarawak diberi keutamaan untuk vaksin COVID-19 – Fatimah
Tarikh : 16 Mar 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

Fatimah bercakap kepada pemberita pada sidang media vaksinasi bagi IPAKK, hari ini.

 

KUCHING: Seramai 5,703 orang pendidik dan pengasuh tadika serta taska dari 36 buah daerah di seluruh Sarawak diberi keutamaan bagi mendapatkan vaksin COVID-19 oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata persetujuan tersebut dibuat selepas KWKPK mengemukakan maklumat dan data pendidik kepada JPBNS pada 11 Mac lalu.

"Persetujuan ini dibuat selepas mengambil kira tugas pendidik dan pengasuh Insitusi Pendidikan Awal Kanak-kanak (IPAKK) yang terpaksa membuat kontak fizikal dengan anak-anak kecil," katanya pada sidang media vaksinasi bagi IPAKK di pejabatnya hari ini.

Beliau menggesa agar IPAKK di seluruh negeri untuk memberi persetujuan dan kebenaran untuk diri mereka disuntik dengan vaksin berkenaan dengan mendaftarkan diri menerusi MySejahtera, Klinik Kesihatan kerajaan berhampiran, Pejabat Daerah, www.vaksinasicovid.gov.my atau hubungi 1800-888-828.

Kata Fatimah lagi, warga IPAKK dijangka akan mendapatkan suntikan vaksin berkenaan dalam fasa pertama yang sedang berjalan bermula Februari lalu sehingga 31 Mac ini.

Sehingga kini, terdapat 41,576 orang kanak-kanak yang sedang mengikuti sesi persekolahan di taska dan tadika dalam zon merah, jingga, kuning dan merah di seluruh Sarawak dan sesi pendidikan secara bersemuka serta perhatian penuh amat diperlukan kanak-kanak ini.

Seramai 3,308 orang guru dan 2,196 pembantu guru atau pembantu pengurusan murid sudah memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dimana sahaja mereka berada agar anak mereka dirumah tidak mudah dijangkiti virus berkenaan.

Dalam perkembangan lain, permohonan Geran Tahunan Khas (GTK) bagi operator taska dan tadika yang berdaftar diberikan kelonggaran.

Katanya pemohon boleh mengemukakan sebab untuk tujuan kerja penambahbaikan kecil untuk keselamatan kanak-kanak, membeli perabot bagi proses pembelajaran atau membeli barangan elektrik untuk tujuan memasak makanan seimbang untuk kanak-kanak di pusat jagaan mereka.

Permohonan juga boleh dibuat menerusi atas talian di http://kwkpk.sarawak.gov.my atau secara manual dengan datang terus ke pejabat Bahagian Pembangunan Awal Kanak-kanak KWKPK.

Pada tahun lepas sebanyak 2,958 iaitu 97 peratus permohonan diterima dan diluluskan KWKPK.

Pautan Berguna