Sarawak ID|Register
Announcements

Maklumat

Guru tadika, taska perlu dikategori barisan hadapan – Fatimah
Tarikh : 12 Mar 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

Fatimah bercakap kepada pemberita pada sidang media, hari ini

KUCHING: Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) menggesa kerajaan supaya meletakkan guru-guru tadika dan taska di bawah kategori sebagai barisan hadapan, sama seperti guru sekolah.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia memandangkan guru tadika dan taska juga berisiko tinggi berdepan dengan COVID-19 ketika berkhidmat.

“MPAKS memohon Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) agar memasukkan guru tadika dan taska di institusi awal pendidikan kanak-kanak sebagai petugas barisan hadapan agar mereka ini boleh diberi keutamaan mendapat suntikan vaksin COVID-19. 

“Guru-guru tadika dan taska sangat rapat dengan kanak-kanak di bawah jagaan mereka termasuk mengendong dan memberi mandi, justeru mereka ini perlu suntikan vaksin segera,” katanya pada sidang media Hasil Mesyuarat MPAKS bagi Tahun 2021 di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.

Beliau berkata, seramai 5,957 guru atau pengasuh, selain 3,945 pembantu yang bertugas menjaga 68,133 kanak-kanak di tadika dan taska seluruh negeri ini.

“Ini statistik yang kita rekodkan setakat 28 Februari 2021. Maka itu, kita harap JPBNS akan mempertimbangkan permohanan ini termasuk turut memasukkan pembantu di tadika dan taska sebagai barisan hadapan.

“Ia bagi memudahkan mereka juga mendapatkan suntikan vaksin demi keselamatan semua,” ujarnya sambil menambah, kerajaan kini sedang memberi suntikan vaksin kepada petugas barisan hadapan termasuk guru mengikut giliran.

Sementara itu, bagi memastikan modul pembelajaran kanak-kanak tadika dan tidak ketinggalan berikutan pandemik COVID-19, Fatimah memberitahu kerajaan memberi perhatian kepada tiga aspek penting.

“Antara fokus utama ialah mengajar kemahiran yang tidak diajar tahun lalu, mengoptimum masa pengajaran dalam kelas agar kanak-kanak lebih aktif dan memastikan persekiran pembelajaran yang selamat,” katanya.

Menurutnya, pendidikan awal kanak-kanak merupakan fasa yang amat penting dalam pembangunan setiap insan. 

“Pada usia ini, perkembangan otak kanak-kanak berlaku dengan pantas. Maka, ianya merupakan tempoh yang amat penting dalam membina asas yang kukuh dalam pendidikan dan pembangunan sosio emosi.

“Ia penting supaya mereka mampu dan bersedia untuk melangkah ke alam persekolahan formal dan ke peringkat seterusnya,” katanya.

 

Pautan Berguna