Sarawak ID|Register
Announcements

Maklumat

Kerajaan Sarawak perluas tujuan penggunaan geran institusi pendidikan awal kanak-kanak
Tarikh : 12 Mar 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

Fatimah bersama Rosey dan Salina meneliti maklumat selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak, hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak menambah dua tujuan tambahan bagi penggunaan Geran Tahunan Khas (GTK) kepada institusi pendidikan awaI kanak-kanak (IPAKK) yang berdaftar di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata penambahan tujuan kepada GTK ini bagi membantu IPAKK untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan kecil.

“Dua tujuan tambahan bagi penggunaan GTK tersebut ialah kerja-kerja pembaikan kecil dan pembelian perabot atau barangan elektrik.

“Pemantauan kita semasa pandemik COVID-19 kita dapati ada IPAKK yang perlu membuat pembaikan kecil yang mana ia boleh menjejaskan keselamatan. Oleh itu, kita benarkan mereka menggunakan GTK ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medi selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-kanak Sarawak di Bangunan Baitulmaklmur, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, kesemua IPAKK boleh memohon mulai sekarang sehingga 30 April 2021 ini.

“Kadar pemberian bagi IPAKK dikaji semula dan peruntukan GTK bagi taska di Rumah akan dikurangkan berbanding taska di institusi, taska komuniti dan taska di tempat Kerja.

“Bagaimanapun, kadar pengurangan akan dimaklumkan setelah pihak Kementerian mengadakan sesi perbincangan bersama pengusaha taska di Rumah.

“Lain-lain IPAKK yang berdaftar dan mempunyai kanak-kanak yang berdaftar layak menerima RM5,000 setahun,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Sarawak pada tahun lalu telah meluluskan peluasan penggunaan GTK bagi dua tujuan tambahan.

Tujuan itu katanya, merangkumi membantu membayar sewa serta gaji guru dan kakitangan IPAKK terutama IPAKK swasta dan membantu pembelian barangan dan keperluan pembersihan, sanitasi dan lain-lain persediaan bagi memenuhi prosedur operasi standard pasca COVID-19.

“Penambahan tersebut adalah bagi membantu industri pendidikan dan pembangunan awal kanak-kanak bagi mendepani cabaran COVID-19.

“Pada tahun 2020, sebanyak 2,958 atau 97 peratus IPAKK berdaftar telah mendapat manfaat daripada GTK,” katanya.

Hadir sama, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus dan Ketua Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak, KWKPK Salina Bujang.

Pautan Berguna