Maklumat

Inisiatif EFS dan BIB akan diteruskan tahun ini: Fatimah
Tarikh : 07 Jan 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

 

“Sukacita dimaklumkan inisiatif Endowment Fund Sarawak akan diteruskan pada tahun 2021. Dato Sri Fatimah Abdullah Menteri Kebajikan, Kesejahtaraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak

KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahtaraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata inisiatif Endowment Fund Sarawak (EFS) dan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) akan diteruskan pada tahun ini.

Beliau berkata EFS diperkenalkan sejak 2019 dengan pemberian RM1,000 kepada setiap kelahiran anak Sarawak dalam bentuk simpanan.

Simpanan itu katanya, hanya boleh dikeluarkan pada umur 18 tahun sebagai persediaan melanjutkan pelajaran, memulakan kerjaya atau sebagai modal kecil perniagaan.

“Sukacita dimaklumkan inisiatif Endowment Fund Sarawak akan diteruskan pada tahun 2021.

“Kerajaan negeri juga memutuskan untuk meneruskan inisiatif Bantuan Ibu Bersalin pada tahun ini (2021). Bagi permohonan yang layak dan telah diluluskan kementerian akan terus membuat pembayaran sebanyak RM500 pada tahun ini,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Fatimah yang juga pengerusi EFS berkata pendaftaran EFS boleh dibuat di semua cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sarawak.

Beliau memberitahu, borang permohonan EFS diisi ibu bapa semasa membuat pendaftaran kelahiran dan borang yang lengkap hendaklah diserahkan kepada Cawangan JPN Negeri Sarawak.

Menurutnya borang yang lengkap diisi akan dihantar oleh cawangan JPN Negeri Sarawak ke cawangan Bank Islam setiap Isnin minggu kedua dan keempat.

“Proses pendaftaran EFS akan diproses oleh Bank Islam dan pemakluman pendaftaran akan dihantar melalui mesej pesanan ringkas oleh bank ke nombor telefon yang didaftar.

“EFS diuruskan oleh Bank Islam berdasarkan terma dan syarat dipersetujui antara institusi kewangan dan kerajaan negeri,” katanya.

Fatimah berkata antara syarat permohonan inisiatif EFS ialah rakyat Sarawak yang lahir di Sarawak atau di luar Sarawak, kedua-dua atau salah seorang ibu bapa pemegang Kad Pengenalan Sarawak berstatus ‘K’ dan dipohon semasa pendaftaran kelahiran atau dalam tempoh satu tahun selepas kelahiran.

“Bagi kategori anak angkat, kedua-dua atau salah seorang ibu bapa angkat pemegang Kad Pengenalan Sarawak berstatus ‘K’ dan mempunyai Sijil Pengangkatan Anak yang sah,” ujarnya.

Setakat 28 September 2020, sebanyak 18,222 permohonan untuk EFS manakala bagi BIB, 11,459 ibu bersalin telah memohon mendapatkan bantuan tersebut.

 

- Utusan Borneo

Pautan Berguna