Maklumat

Lapan waris pemegang KGC terima BIK di Sri Aman
Tarikh : 11 Jan 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

 

SRI AMAN: Seramai lapan waris pemegang Kenyalang Gold Card (KGC) menerima Bantuan Ihsan Kematian (BIK) berjumlah RM3,000 setiap seorang, kelmarin.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis berkata, BIK merupakan inisiatif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk meringankan beban keluarga pemegang KGC yang meninggal dunia.

“Inisiatif kerajaan Sarawak ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia,” ujarnya semasa berucap ringkas pada majlis penyerahan bantuan tersebut di Pejabat Kebajikan Bahagian Sri Aman di sini, kelmarin.

Untuk rekod di Bahagian Sri Aman setakat 8 Januari tahun ini, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman telah menerima permohonan KGC sebanyak 10,923, manakala jumlah yang telah dicetak ialah 10,763 keping kad.

“Sebanyak 9,355 KGC telah diagihkan kepada pemohon yang telah mencapai umur 60 tahun dan ke atas setakat ini,” jelasnya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menambah, bagi permohonan BIK waris pemegang KGC yang telah meninggal dunia setakat 8 Januari tahun ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman telah meluluskan permohonan 150 waris dengan jumlah keseluruhan RM450,000.

Selain itu, majlis berkenaan turut diselitkan dengan penyerahan bantuan bernilai RM8,800 kepada mangsa kebakaran rumah Jame William di Tekalong Dor, Melugu yang terbakar pada 1 Disember

tahun lalu.

Hadir sama Pegawai Kebajikan Bahagian Sri Aman Vivian Engkiong, Ketua Masyarakat Iban kawasan

Undop Penghulu Mingging Sigan serta Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Kaunselor Andar Suntai.

 

Pautan Berguna