Maklumat

SeDidik diharap bantu kerajaan capai aspirasi sedia pendidik awal kanak-kanak
Tarikh : 08 Dec 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: SeDidik Sdn Bhd (SeDidik) diharapkan dapat membantu kerajaan negeri untuk mencapai aspirasi dalam menyediakan pendidikan awal kanakkanak (ECCE) kepada semua kanak-kanak di Sarawak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, SeDidik yang merupakan milik kerajaan negeri dilihat sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak yang berwibawa dan berkualiti tinggi.

“Ketika ini, 97.19 peratus kanak-kanak Sarawak mempunyai akses untuk ECCE ini.

“Jadi dengan mencapai aspirasi ini, bermakna setiap kanak-kanak boleh mendapat akses ECCE di Sarawak.Tiada yang akan ketinggalan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai Transformasi Hala Tuju SeDidik di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui kementerian beliau secara rasmi telah mengambil alih SeDidik daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) pada Julai lalu.

“Setelah kerajaan mengambil alih, terdapat peningkatan bilangan pelajar dan taska terutama taska SeDidik di tempat kerja,” ujarnya.

Setakat ini katanya, sebanyak 99 pusat SeDidik di seluruh negeri dengan 79 tadika dan 20 taska yang melibatkan seramai 2,262 kanak-kanak menerima ECCE di institusi tersebut.

Bagi memastikan SeDidik dapat maju ke hadapan, Fatimah berkata tumpuan hanya akan diberikan kepada pembangunan ECCE sahaja, tidak seperti sebelum ini di mana fokus pada program keibubapaan dan pembangunan masyarakat.

“Tumpuan akan diberikan pada penyediaan asuhan, bimbingan dan didikan untuk kanak-kanak terutama kepada mereka yang berada di luar bandar.

“Bagaimanapun, SeDidik akan terus bekerja secara simbiotik dengan ibu bapa,” katanya.

Beliau juga mahu SeDidik memberi penekanan kepada jaringan profesional dengan institusi ECCE lain di dalam dan di luar Malaysia.

“Kita telah melihat latihan yang baik di institusi ECCE baik di dalam mahupun di luar Malaysia. Kita harus memanfaatkannya untuk mendapatkan latihan terbaik dan menjalin kerjasama dengan institusi ECCE yang berkualiti,” katanya.

Dari segi kurikulum pula, Fatimah berkata SeDidik akan terus mengguna pakai kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) untuk tadikanya manakala taska menggunakan kurikulum PERMATA.

“Kita juga akan mengekalkan program tambah nilai seperti Let’s Begin Programme, English Fun Learning Programe, Sunshine Balanced Reading Programme for English, Sedidik’s Thematic Modules dan Dr Glenn Doman Method for Babies and Parents selain menambahkan lagi program nilai, jati diri dan bidang khusus yang menjadikan SeDidik berbeza daripada pusat ECCE lain.

“SeDidik juga akan memberi fokus kepada pendigitalan dan digitalisasi bahan dan pengalaman pembelajaran serta latihan individu, dengan guru memiliki minimum diploma dalam ECCE.

“Pada masa ini, seramai 78 daripada 144 guru mempunyai diploma atau ijazah dalam Pendidikan Awal KanakKanak,” katanya.

Beliau berkata pelan transformasi hala tuju SeDidik akan diusulkan kepada lembaga pengarah SeDidik tidak lama lagi.

Pautan Berguna