Sarawak ID|Register
Announcements

Maklumat

Lebih banyak NGO digalak sedia perkhidmatan sokongan sosial di bawah satu bumbung
Tarikh : 08 Oct 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

 

Fatimah meninjau salah satu bilik yang disediakan Pusat Divine Will Kuching di sini. Turut kelihatan Bong (kanan) dan Pemegang Amanah Divine Will Society Kuching, Datuk Sim Khiang Chiok (dua kanan).- Gambar oleh Roystein Emmor


KUCHING: Lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak digalak menyediakan perkhidmatan sokongan sosial di bawah satu bumbung kepada komuniti yang memerlukan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kementerian amat mengalu-alukan langkah sedemikian terutama yang menyediakan perkhidmatan kepada antara generasi.

"Misalnya projek Pusat Divine Will Kuching ini, yang kita sifatkan satu contoh yang boleh menjadi teladan kepada NGO lain dimana mereka menyediakan khidmat sokongan sosial kepada warga emas dan belia.

"Mereka juga menyediakan rumah perlindungan sementara kepada mangsa kebakaran selain mangsa keganasan rumah tangga dan semua ini adalah amat dialu-alukan oleh kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Divine Will Kuching iaitu projek kerjasama Divine Will Society Kuching dan Lions Club of Kuching Oriental di Kota Sentosa, di sini hari ini.

Fatimah berkata, pusat yang berkonsepkan satu tempat yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada komuniti itu adalah hasil daripada jalinan kerjasama golongan profesional termasuk doktor, peguam serta pemaju perumahan.

Katanya bukan itu sahaja malahan pusat berkenaan juga menumpukan golongan sasaran antara generasi, yang mampu menyumbang kepada proses ke arah kesejahteraan komuniti dalam kalangan generasi muda dan warga emas.

Di bawah Pusat Divine Will Kuching, ia menyediakan pusat dialisis buah pinggang yang bakal mempunyai 12 mesin dialisis kepada pesakit, perlindungan sementara kepada keluarga memerlukan iaitu mangsa kebakaran, mangsa keganasan rumah tangga dan mangsa banjir, pusat jagaan harian warga emas, pusat pembangunan belia dan sebagainya.

Sementara itu Pengerusi Divine Will Society Kuching, Anthony Bong berkata pusat berkenaan akan dibuka secara berperingkat sebagaik sahaja negeri ini beransur pulih dari pandemik COVID-19 dan beralih ke fasa endemik.

"Ia bergantung kepada keputusan kerajaan mengenai aktiviti-aktiviti ini yang mana boleh dibuka.

"Sebaik sahaja ia dibuka, kita akan membuka pusat dialisis selain pusat jagaan harian warga emas dan kemudahan lain," katanya.

Katanya persatuan amat mengalu-alukan penyertaan golongan belia menerusi pusat pembangunan belia yang disediakan oleh mereka.

Pautan Berguna