Sarawak ID|Register
Announcements

Maklumat

KPWKM galak orang ramai mohon bantuan JKM dalam talian
Tarikh : 09 Sep 2021  Sumber Berita: Malaysia Gazzete Online
 

 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (kiri) bercakap kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada penerima sumbangan pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Bakul Prihatin Negara ketika di Taman Teluk Merbau, Sungai Pelek. Foto MOHD ADZLAN, 08 SEPTEMBER 2021.

 

SEPANG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan orang ramai membuat permohonan di dalam talian sekiranya memerlukan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia bagi mengurangkan kehadiran pemohon ke pejabat JKM daerah dan membolehkan permohonan bantuan dibuat walaupun dalam kawasan berisiko tinggi.

“Kita telah mempermudahkan lagi permohonan dan boleh dibuat secara dalam talian dan tidak perlu pergi ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) secara fizikal.

“Sekiranya ada perkara-perkara yang perlu untuk hadir, pegawai JKM akan turun ke rumah untuk membuat siasatan lanjut.

“Temubual juga kita buat secara dalam talian, sekarang kita boleh guna sidang video dan panggilan video untuk memudahkan permohonan JKM,” katanya kepada pemberita di Sungai Pelek, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali mendedahkan, perkhidmatan dalam talian sepenuhnya sektor awam atau End-to-End (E2E) kini pada tahap 57.02 peratus dan di landasan tepat untuk mencapai sasaran 80 peratus perkhidmatan kerajaan secara dalam talian bermula dari peringkat awal ke akhir menjelang 2025.

Menurut Mohd Zuki, perkhidmatan E2E itu menambah baik dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Rina juga berkata kaedah baharu itu bagi mempermudahkan kaedah siasatan permohonan bantuan khususnya sepanjang tempoh PPN.

“Dalam tempoh ini, proses siasatan dilaksanakan secara temubual melalui talian (telefon) dan berdasarkan maklumat yang telah diisi oleh pemohon.

“Maklumat tambahan pemohon boleh diminta melalui email, WhatsApp atau pemohon atau perujuk boleh menghantar maklumat yang diperlukan di dropbox yang disediakan pejabat,” katanya.

Menurutnya lagi, siasatan bersemuka boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian dan bergantung kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa.

“Pengecualian Proses Kaji semula Sepanjang tempoh PKP JKM telah mempermudahkan proses kaji semula.

“Semua penerima bantuan bulanan tidak perlu menghantar borang kaji semula dan hadir ke PKMD untuk siasatan lanjutan.

“Pegawai kes akan menggunakan borang kaji semula kelulusan terdahulu bagi melanjutkan bantuan.

“Penamatan kes hanya dilakukan sekiranya terdapat maklumat yang sahih seperti meninggal dunia, kes berpindah keluar daerah dan perubahan tidak lagi menepati syarat kelayakan menerima bantuan JKM,” katanya lagi.

Dalam pada itu, katanya, KPWKM memperuntukkan hampir RM1.5 bilion kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat Januari hingga Julai tahun ini.

Seramai 512,643 penerima telah mendapat bantuan tersebut, membabitkan 11 skim JKM.

“Penerima bantuan JKM sekarang mencecah hampir 520,000 dan ada 35 peratus tambahan malah masih banyak lagi permohonan yang diterima ketika ini,” katanya

Menurutnya, Bantuan Warga Emas (BWE) merupakan skim paling ramai mendapat manfaat setakat setengah tahun ini, membabitkan 138,599 penerima.

“Bantuan Am (Negeri dan Persekutuan) pula merupakan skim kedua tertinggi bantuan itu membabitkan 105,714 penerima.

“Manakala skim ketiga paling tinggi mendapat bantuan JKM itu ialah Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) membabitkan 92,093 penerima,” katanya.

Daripada jumlah itu juga, Sabah merupakan negeri paling tinggi mendapat manfaat itu sebanyak RM174,003,277 membabitkan 63,641 penerima.

“Ini diikuti Johor menerima sebanyak RM152,053,793 dengan 52,567 penerima; Sarawak (RM143,277,215) dengan 50,883 penerima dan Kelantan (RM127,852,229) dengan 46,752 penerima,” katanya lagi. – Malaysia Gazette

 

Pautan Berguna