Sarawak ID|Register
Announcements

Maklumat

107 gelandangan telah divaksin
Tarikh : 08 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

 

SIBU: Seramai 107 gelandangan di seluruh Sarawak telah mendapat suntikan vaksin COVID-19 sekurang-kurangnya dos pertama setakat 5 September.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, daripada jumlah itu, seramai 42 orang telah lengkap dua dos vaksin.

"Seramai 121 gelandangan telah dikenalpasti dan didaftarkan melalui operasi cerapan gelandangan di semua bahagian berkaitan secara berkala sejak Januari 2021 bagi mendapat input untuk Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan di Sarawak.

"Walaupun begitu, bilangan gelandangan adalah berubah-ubah kerana terdapat kemungkinan ada gelandangan baru atas faktor kehilangan pekerjaan, tempat tinggal atau sebagainya.

"Namun, ada kemungkinan ada yang belum masuk dalam rekod kita," katanya ketika ditemui pemberita sebelum mengetuai operasi bersepadu Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan di Bahagian Sibu, malam Isnin.

Menurut statistik yang diberi, pecahan jumlah gelandangan mengikut bahagian di seluruh Sarawak adalah seramai 24 di Miri, Bintulu (18), Kuching (29), Samarahan (1), Serian (3), Betong (1), Sarikei (8), Sibu (21) dan Kapit (7).

Fatimah bagaimanapun berkata, hanya gelandangan di bahagian Bintulu sahaja pada masa ini yang masih belum divaksinasi.

Jelasnya, ini berikutan pendirian pihak berkuasa tempatan yang menunggu vaksin jenis CanSino yang hanya memerlukan satu dos sahaja.

"Tidak semua gelandangan kita dapat bawa ke pusat vaskinasi kerana ada yang perlu kita cari dan ada yang sudah berpindah tempat.

"Jadi, suntikan pertama sudah menjadi cabaran apatah lagi suntikan kedua. Jika ada vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan, itu adalah yang terbaik, tetapi Bintulu telah membuat keputusan untuk menggunakan bekalan vaksin yang tersedia sahaja.

"Oleh itu, program vaksinasi untuk golongan gelandanagn mereka akan bermula pada 11 September ini," katanya.

Dalam pada itu, Fatimah berkata bagi menjayakan Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan di Sarawak, pihaknya menggunakan tiga cara.

Pertama, adalah dengan cara menempatkan gelandangan di Pusat Penempatan Sementara Gelandangan (PPSG) sebelum diberi dos pertama sehingga selepas dos kedua selesai seperti di PPSG ini. 

Kedua, adalah dengan membawa gelandangan yang memberi kerjasama ke PPV. 

Ketiga, adalah secara bergerak bagi mereka yang mempunyai isu kesihatan mental dan bagi yang sukar memberi kerjasama untuk dibawa ke PPV.

"Modus operandi bagi vaksinasi COVID-19 komuniti gelandangan di Sibu malam ini adalah melalui dua kaedah iaitu membawa gelandangan yang mampu memberi kerjasama ke PPV dan operasi secara mobile ke lokasi yang telah dikenalpasti semasa mereka mendapat dos pertama," katanya.

Sementara itu, operasi bersepadu malam tadi telah disertai oleh Pejabat Residen Bahagian Sibu, Majlis Pembangunan Sosial, Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Pejabat Daerah Sibu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu, Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu, Hospital Sibu dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), RELA dan Imigresen Malaysia Sibu.

Pautan Berguna