Sarawak ID|Register
Announcements

Maklumat

Community CHAT dilancar, atasi masalah kesihatan mental akibat COVID-19
Tarikh : 15 Jul 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) melancarkan ‘Community CHAT’, yang dijenamakan semula, bagi membantu masyarakat menghadapi pelbagai masalah kesihatan mental termasuk kesan pandemik COVID-19.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perkhidmatan itu telah diwujudkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) sebelum ini, namun ditambah baik sejajar dengan situasi semasa.

“Sebelum ini, ia dikenali sebagai perkhidmatan tele-kaunseling tetapi kita menjenamakan semula menjadi Community CHAT menerusi kerjasama daripada pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

“Tujuannya kita mahu perkhidmatan ini dapat membantu individu, keluarga dan komuniti yang terkesan akibat bencana, krisis, wabak COVID-19 atau yang terganggu dan tidak dapat mengawal emosi secara lebih menyeluruh,” katanya pada sidang media perkhidmatan Community CHAT di Bilik Media KWKP, Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.

Fatimah berkata, antara agensi yang menyertai perkhidmatan itu termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak, Persatuan Kesihatan Mental Sarawak (MHAS) dan sukarelawan pembimbing terlatih atau Life Coaches.

“Seramai 420 orang daripada pasukan sukarelawan terlatih dan berkemahiran dalam bidang psikologi akan terlibat dalam perkhidmatan ini di seluruh Sarawak. Mereka dikenali sebagai pasukan ‘Psychological Support Team’ dan ‘Sahabat Psychological Support Team’,” katanya.

Menurutnya, individu yang memerlukan perkhidmatan Community CHAT boleh menghubungi terus bilik gerakan JKMS di talian 082-311554 yang dibuka secara 24 jam kepada masyarakat umum.

Mereka juga boleh menghubungi 082-448534 (cawangan psikologi dan kaunseling JKMS); 082-507111, 082-612173, 082-628055 dan 082-843240 (pegawai psikologi JKMS Bahagian Kuching), 082-671191 (pegawai psikologi JKMS Bahagian Samarahan/Serian), 083-471952 (pegawai psikologi JKMS Bahagian  Betong/Sri Aman), 084-651005 (pegawai psikologi JKMS Bahagian Sarikei), 084-330675 (pegawai psikologi JKMS Bahagian Sibu/Mukah/Kapit, 085-424534 dan 085-611507 (pegawai psikologi JKMS Bahagian Miri) dan 085-211930 (pegawai psikologi JKMS Bahagian Limbang).

“Bagi individu yang ingin mengenalpasti tahap kesihatan mental seperti kebimbangan, kemurungan dan tekanan, permohonan perkhidmatan boleh didapati melalui kaedah QR Scan yang mengandungi pautan link ujian Depression Anxiety dan Stress Scale (DASS-21) dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan Iban.

“Imbasan kod QR bagi perkhidmatan ini boleh didapati di Facebook JKMS,” jelasnya.

Tambahnya, individu yang mendapat skor tinggi dalam Ujian DASS-21 dan memohon perkhidmatan Community CHAT akan dihubungi oleh pegawai psikologi.

“Harapan kita dengan menyediakan perkhidmatan tele-kaunseling seumpama ini, isu masalah sosial di negeri ini dapat ditangani sebaik mungkin,” katanya.

Hadir sama, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Tetap KWKPK, Dr Rashidah Bolhassan, Pengarah JKMS, Noriah Ahmad dan tetamu kehormat lain.

Pautan Berguna