Sarawak ID|Register
Announcements

Maklumat

Kes bunuh diri di Sarawak meningkat, perlu ditangani - Fatimah
Tarikh : 15 Jul 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Kadar kes bunuh diri di Sarawak perlu diambil serius oleh semua pihak, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, ia berikutan perolehan data melibatkan kes bunuh diri di negeri ini yang menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

Menurutnya, sebanyak 37 kes bunuh diri direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan kepada 19.65 peratus bagi empat bulan pertama dalam tahun 2021 berbanding 46 kes bunuh diri dilaporkan pada 2020. 

“Secara keseluruhan, trend kes bunuh diri di Sarawak menunjukkan peningkatan sebanyak 77 peratus atau 20 kes dari tahun 2018 hingga 2020 di mana 26 kes (2018), 36 kes (2019) dan 46 kes (2020),"  katanya pada sidang media sempena pelancaran Community CHAT Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di sini, hari ini.

Fatimah berkata, 89 peratus daripada kes bunuh diri ini melibatkan golongan lelaki dengan 96 peratus berumur 18 tahun ke atas.

Menurutnya, kes bunuh diri ini berpunca dari pelbagai faktor dan kesan pandemik COVID-19 yang menyumbang pelbagai isu sosial dalam masyarakat seperti kesihatan mental, kemiskinan, keganasan rumah tangga dan gelandangan.

“Isu sosial ini telah membawa kepada pelbagai masalah sosial yang serius seperti cubaan membunuh diri dan tragedi membunuh diri yang sering dipaparkan di media perdana dan sosial,” ujarnya. 

Sehubungan itu, katanya, individu atau masyarakat yang mengalami masalah tersebut dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat bimbingan atau kaunseling menerusi pelbagai platform.

Katanya, sejak Mei 2020 sehingga Julai tahun ini, terdapat 47 program dijalankan oleh pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani isu dan masalah berkaitan kesihatan mental.

“Bagi tempoh yang sama, sebanyak 634 kes kaunseling dikendalikan oleh pelbagai agensi dan NGO di Sarawak semasa pandemik COVID- 19,” katanya.

Tambahan pula, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak juga sedang melaksanakan kajian kesihatan mental untuk mendapatkan gambaran mengenai kesihatan mental komuniti termasuk kesan pandemik COVID-19 dan menyediakan pelan tindakan bagi menangani masalah kesihatan mental di Sarawak.

“Diharapkan masyarakat akan menggunakan pelbagai platform yang kita sediakan termasuk bantuan kaunseling. 

“Kita tidak mahu melihat kes bunuh diri ini terus meningkat, justeru kita perlu menanganinya dengan melibatkan pelbagai pihak,” ujar beliau.

Pautan Berguna