Sarawak ID|Register
Announcements

Maklumat

Ibu bapa Bonnie gembira anak pulang dengan selamat
Tarikh : 17 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

 

Bonnie bersama ibu bapanya menunjukkan pingat emas yang dimenanginya pada Paralimpik Tokyo 2020.


KUCHING: Kegembiraan ibu bapa kepada jaguh angkat berat para negara, Bonnie Bunyau Gustin jelas terpancar di raut wajah mereka sebaik sahaja melihat anaknya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini hari ini.

Malah, Gustin Jenang, 54, dan Evylen Gelagar, 40, tidak dapat menyembunyikan keterujaan mereka untuk melihat sendiri pingat emas yang dimenangi anak mereka di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020. 

"Hampir dua tahun tidak melihat secara bersemuka dengan dia (Bonnie) kerana menjalani latihan dan persiapan untuk Paralimpik Tokyo selain kejohanan antarabangsa yang lain.

"Hari ini, impian kami sebagai ibu bapa untuk melihat dia dengan bersemuka tercapai, malahan dapat bersama-sama menyambut ketibaan dia bersama empat lagi atlet Paralimpik lain," katanya ketika ditemui pemberita di LTAK di sini hari ini.

Tambahnya, beliau dan isteri tidak sabar untuk berangkat pulang ke kampung mereka di Kampung Baru Mawang, Serian bersama Bonnie bagi menunjukkan pingat emas yang dimenangi itu kepada ahli keluarga lain.

Berkongsi kisah Bonnie di kampung, Gustin berkata, anaknya itu seperti remaja lain yang suka bermain dan berkumpul dengan rakan-rakan.

"Dia selalu ikut saya berlatih ketika dahulu dan ini mungkin menjadi pemangkin minat beliau untuk berjaya dalam sukan ini," jelasnya.

Katanya lagi, Bonnie bersama seorang lagi anaknya akan menyertai kejohanan angkat berat di Georgia pada hujung November nanti.

"Mungkin dia akan bercuti seminggu sebelum meneruskan latihan di sini untuk kejohanan seterusnya di Georgia hujung November nanti bersama abangnya (Bryan Junency)," ujarnya.

Sementara itu, Bonnie, 22, turut meluahkan perasaan yang sama sebaik sahaja tiba di LTAK hari ini.

"Saya sangat gembira kerana sudah boleh balik dan berjumpa ibu bapa saya.

"Kejohanan seterusnya pada November nanti di Georgia, jadi saya akan cuti seminggu sebelum jalani latihan di pusat latihan di sini. Dua minggu sebelum terbang ke Georgia (untuk kejohanan), kita terbang ke Bukit Jalil, Kuala Lumpur," katanya.

Justeru, beliau berharap rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khasnya terus memberi sokongan kepada beliau untuk melakarkan lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

"Saya harap semua rakyat Malaysia memberi sokongan kepada atlet-atlet negara dan Sarawak, doakan kami untuk berjaya di masa akan datang," ujarnya.

Sementara itu, Jong Yee Khie yang merupakan pemenang pingat perak pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bersama tiga lagi atlet para lain Mohammad Nur Syaiful, Wiro Julin dan Jamery Siga turut meluahkan rasa yang sama.

Pautan Berguna